1,000 hadiri Majlis Ramah-tamah Hari Raya Aidifitri FELCRA
TARIKH: 10 Sept 2012

SARATOK:  Sekitar 1,000 orang yang terdiri daripada masyarakat setempat, peserta FELCRA Berhad Kawasan Sri Aman dan Betong, kakitangan jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menghadiri Majlis Ramah-tamah Hari Raya Aidifitri FELCRA Berhad, semalam.

Pengurus FELCRA Kawasan Saratok Ashari berkata, program itu diraikan untuk memberi peluang kepada kakitangan FELCRA Berhad memperkukuhkan hubungan sesama sendiri dan dengan masyarakat seperti peserta FELCRA, masyarakat setempat dan kakitangan jabatan kerajaan dan NGO lain.

“Melalui peluang ini, mereka bolehlah beramah mesra bersama sambil menikmati jamuan yang telah disediakan, di samping memberi peluang untuk mereka bertukar pendapat sama ada yang berkaitan dengan pekerjaan mahupun aktiviti-aktiviti harian yang lain.

“Penganjuran program ini melibatkan usaha daripada semua kakitangan FELCRA Berhad daripada enam kawasan iaitu dari Sri Aman dan Betong,” kata Ashari kepada pemberita semalam.

Majlis berkenaan diadakan di kawasan lapang bersebelahan  Wadira Food Court di simpang Saratok.

Menurut Ashari, program itu adala salah satu aktiviti tahunan FELCRA Berhad.

“Ia juga merupakan salah satu cara kami menunjukkan tanda terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung dengan pihak kami ataupun tidak.

“Kami sedar, jika tiada kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, adalah amat sukar untuk kami mencapai setiap kejayaan dan menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada kami,” jelas Ashari.

Terdahulu dalam majlis yang sama  FELCRA Berhad melalui Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad Sarawak Mohd Khalid Mohd Nor turut menyampaikan sumbangan kepada Rumah Kanak-kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman yang diwakili oleh Pengetuanya Nurul Illiana Allias.